ARTIKEL

Pusat Pendidikan & Kaunseling Rumahtangga #1 Di Malaysia

Fahami Karakter Manja Pasangan Anda

Perangai manja membawa maksud kelakuan yang sentiasa ingin dituruti kemahuannya. Namun, manja dalam rumahtangga mampu menyuburkan seri perkahwinan, jika kena pada caranya.
Bersikap manja terhadap pasangan selalunya mencuit rasa cinta dan ‘comel’ pada pasangan.

Kebiasaannya, perangai dan telatah manja ini terjadi secara ‘spontan’ di awal perkahwinan. Pasangan yang baru berkahwin kebanyakannya masih malu-malu kucing, memendam rindu, dan suka menyakat. Telatah manja sebeginilah mencuit hati, rindu dan sayang dalam diri. 

Namun, menginjak usia perkahwinan dan umur, perangai manja akan beransur hilang.

Masing-masing kini sibuk dengan kerja, anak-anak yang makin membesar dan tanggungjawab yang lain. Di sinilah pentingnya disuburkan manja dalam rumahtangga bagi memastikan rumahtangga terus berseri dan harmoni.

Bermanja bersama pasangan seperti awal perkahwinan menyuburkan rasa cinta

Kebelakangan ini, heboh di media sosial dengan kes pasangan yang telah dua dekad bersama, namun rumahtangganya musnah dan berpisah. Sang suami memberikan ‘hint’ bahawa TIADA LAGI KEMANJAAN dalam rumahtangga.

Biarpun pelbagai spekulasi dan faktor luaran yang melanda, kami di KamardanKelambu yakin harmoninya sesebuah rumahtangga itu adalah terletak kepada 3 perkara;

(1) komunikasi yang berkesan,

(2) toleransi terhadap pasangan, dan

(3) penghargaan kepada pengorbanan & kesetiaan pasangan

Manja dalam rumahtangga adalah seperti berikut;

1. Manja wanita/isteri: suami suka pada isteri yang punyai malu-malu alah, sifat suka menyakat, murah senyuman dan senang didampingi

Suami juga suka pada isteri yang memberikan ruang untuk dibantu dan tidak sepanjang masa menjadi ‘independent’ dan boleh belaka! 

Isteri yang manja seringkali bersifat ingin dipujuk dan mahu diberikan sesuatu yang indah. Tidak semestinya mahal, tapi yang pastinya rasa dihargai dan disayangi selalu!

 

Contohnya, suami dan kebanyakan lelaki suka kepada isteri yang bersifat jual mahal. Jual mahal dalam bertindak & bercakap, tapi awas! Bukannya tunjuk pandai dan lawan kata! 

Suami juga suka isteri yang berperwatakan ‘comel’ ketika bersama. Minta diangkatkan barang tanda isteri lemah dan suaminya perkasa adalah sifat ‘manja dan comel’ si isteri.

2. Manja lelaki/suami: suami juga suka dimanjakan seperti anak kecil dan diberikan kejutan. Bezanya, mungkin ada suami yang suka menunjukkan rasa sukanya atau hanya bersifat memendam rasa.

Contohnya, kadang suami suka melentokkan badan kepada isteri, memegang atau meraba ‘manja’ ketika hanya berdua. 

Suami juga suka dibelai dan dipujuk. Bahasa badan yang ditunjukkannnya kadang-kala sengaja dibuat untuk menyakat si isteri bagi melepaskan rindu.

 

Mawaddah wal sakinah dibentuk bersama rasa ihsan dan kasih kepada pasangan

Hakikatnya, manja dalam rumahtangga ini sangat subjektif. Suami dan isteri tidaklah sempurna dan cinta yang bertahun disemai itu mampu layu dan hilang.

Asasnya ialah, suami dan isteri masih orang yang sama yang dikahwini pada ketika anda tidak punya apa-apa. Anda dan pasanganlah yang sama-sama membangunkan kekuatan diri dan segalanya.

Makanya, menjadi tanggungjawab anda suami dan isteri untuk menjadi manja kepada pasangan. Hanya anda yang kenal akan pasangan anda. Binalah semula rasa cinta dan rindu seperti awal perkahwinan dahulu.

Peningkatan umur dan lamanya perkahwinan tidak menghalang anda untuk menjadi romantik dan bersifat manja.

‘Hablum minas naas’ kepada pasangan perlulah dijaga dengan terus-terusan melayani, menyayangi dan mencintai pasangan. Barulah akhirnya, Mawaddah wal Sakinah dalam rumahtangga terus terjaga dan kekal mesra. 

Dimiliki oleh Sarah ZainalPuteh Training & Consultancy